Full Width CSS

Hindraf Vs Kerajaan Malaysia

MEREKA pernah mencetuskan huru-hara di ibu negara apabila mengadakan demonstrasi jalanan, mereka pernah menyambut hari jadi di bangunan Parlimen dan terbaru mereka melakukan tindakan biadap pada Majlis Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri² Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Itu adalah antara perkara yang pernah dilakukan oleh pertubuhan Hindu Rights Action Force (Hindraf), tetapi entah apa istimewanya mereka sehingga kini pertubuhan haram itu masih bergerak aktif biarpun beberapa pemimpin mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setakat ini perakuan Hindraf sebagai pertubuhan haram hanya di bibir sahaja belum ada langkah yang benar-benar konkrit bagi melumpuhkan sama sekali pertubuhan haram yang ekstrem tersebut. Justeru Hindraf merasakan mereka kebal daripada undang-undang, biarpun tidak sah tetapi masih boleh melakukan apa sahaja termasuk bertindak kurang ajar di majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan persoalan apakah istimewanya Hindraf? Adakah ia lebih istimewa daripada Al Arqam - satu pergerakan Islam yang bukan sahaja diisytiharkan haram dan pemimpinnya ditahan di bawah ISA malah segala asetnya dirampas sehingga pertubuhan tersebut lumpuh sama sekali.

Tetapi Al Arqam 'dikuburkan' kerana kerajaan mahu memastikan ajaran songsang yang dibawa oleh pergerakan itu tidak menggugat keharmonian kaum di negara ini. Walaupun kerajaan tahu Al Arqam adalah sebuah pertubuhan Islam dan dianggotai oleh 100 peratus orang Melayu tetapi kerajaan tetap bertindak, ertinya tiada tempat bagi mana-mana puak atau golongan yang cuba memperjuangkan pendekatan agama atau kaum yang melampau.

Namun bagaimana dengan Hindraf. Apakah tafsiran yang boleh diberikan oleh satu kumpulan yang terang-terang bukan sahaja menggunakan nama agama malah bertindak cukup 'berani' bagi memperjuangkan kelompok mereka.

Bayangkan kalaulah orang Islam yang bertindak seperti mana Hindraf sudah pasti mereka akan dilabelkan sebagai ekstremis atau pelampau sehingga semua orang takut dengan perbuatan mereka.

''Apa salahnya kalau kita juga menggunakan istilah 'pelampau' ke atas Hindraf kerana tindakan mereka benar-benar berbaur perkauman dan boleh mencetuskan huru-hara di negara ini, apa istimewanya Hindraf ini sampai kerajaan dilihat takut untuk bertindak," kata seorang rakan yang menghantar pesanan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penulis bagi membantah kebiadapan Hindraf itu.

Pendekatan ekstrem

Pandangan seumpama ini seharusnya dipandang serius oleh kerajaan dan tidak lagi berlembut dalam berhadapan dengan Hindraf yang ternyata dari semasa ke semasa terus menggunakan pendekatan ekstrem bagi memastikan tuntutan mereka dipenuhi.

Tindakan di PWTC adalah amaran awal bahawa Hindraf adalah satu kumpulan yang tidak tahu menghormati orang lain. Mereka akan bertindak apa saja bagi menunjukkan kononnya merekalah perjuang kaum yang sebenar.

Walaupun mereka tahu bahawa tindakan seperti itu boleh mencetuskan ketegangan tetapi mereka tidak peduli lantaran tahu ramai ahli politik yang kemaruk kuasa akan menyokong tindakan tersebut.

Ahli-ahli politik ini atas alasan menentang ISA akan menganggap bahawa tindakan Hindraf bertujuan membela nasib keluarga tahanan. Lebih malang lagi ada ahli politik yang mengamalkan sikap lidah bercabang apabila pada mulanya menentang Hindraf tetapi kini menyokong pertubuhan 'ekstrem' itu semata-mata tidak mahu menjejaskan sokongan politik kepadanya.

Penulis berani berkata demikian kerana jiran-jiran di Kedah hampir 70 peratus adalah kaum India. Ketika berbual dengan mereka pada hari tercetus kejadian di PWTC, mereka juga berasa marah dengan tindakan Hindraf itu yang dianggap boleh menimbulkan ketegangan antara kaum, malah sebelum ini pun mereka sudah menganggap bahawa Hindraf tidak mewakili semua kaum India di negara ini.

Oleh itu Hindraf tidak boleh terus 'diberi keistimewaan' seolah-olah mereka adalah pertubuhan haram 'yang dibenarkan'. Ertinya biarpun dianggap haram tetapi bebas melakukan apa sahaja tindakan sehingga menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Rakyat sudah bosan mendengar amaran demi amaran diberikan oleh pihak berkuasa. Apa yang rakyat mahu lihat sekarang ialah tindakan.

Justeru pengisytiharan Hindraf sebagai pertubuhan haram oleh kerajaan amat penting dan mereka harus dikenakan tindakan sama seperti yang dialami oleh Al Arqam.

Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak harus mengambil masa terlalu lama untuk tujuan itu. Segala kekhuatiran kaum lain terutamanya orang Melayu mengenai kebiadapan dan 'keganasan' Hindraf harus diletakkan noktah.

Hindraf adalah pertubuhan haram yang mampu bertindak lebih agresif jika dibiarkan. Apa istimewanya Hindraf sehingga ia seolah-olah akan dibiarkan bertindak lebih agresif lagi baru tindakan akan diambil? Dalam mengambil tindakan terhadap Hindraf, perhitungan politik tidak harus diambil kira.

Hindraf hanyalah satu pertubuhan yang diwujudkan oleh sekelompok kecil manusia yang datang daripada kaum India. Terdapat jutaan lagi kaum India di negara ini yang tidak menyokong mereka.

Oleh itu kerajaan tidak harus bimbang untuk mengambil tindakan kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan negara dan perpaduan kaum harus dipertahankan.

Hindraf diwujudkan berikutan perkembangan politik semasa. Mereka memahami dalam keadaan kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen kerajaan mungkin akan berhati-hati dalam tindakannya kerana memikirkan sokongan politik, dulu tidak ada pertubuhan 'pelampau' seperti ini.

Tetapi sekarang apabila mereka melihat kuasa politik kerajaan semakin lemah maka wujud-wujud puak-puak berkenaan. Kelompok ini semakin 'naik tocang' apabila ada parti pembangkang yang berjanji akan membebaskan tahanan ISA termasuk daripada Hindraf jika mereka memerintah kerajaan pusat.

Kenyataan itu seolah-olah memberi perakuan bahawa Hindraf perlu diberi keistimewaan biarpun ia adalah sebuah pertubuhan haram yang ditubuhkan berasaskan perjuangan di jalanan bagi mencapai matlamat mereka.

Ahli-ahli politik yang menyokong Hindraf ini ternyata tidak boleh dipercayai dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka mendapat sokongan politik. Kalau beginilah sikap ahli politik kita maka jika mereka benar-benar berkuasa akan wujud lebih banyak lagi kumpulan bersikap radikal seperti Hindraf.

Bagaimanapun buat masa ini kerajaan perlu menangani masalah Hindraf dengan tegas. Adalah jelas mereka pelopor kepada satu perjuangan yang sempit. Jika kelompok ini dibiarkan perpaduan kaum di negara ini mampu tergugat di masa depan.

Setakat ini tiada siapa pun boleh memberi jaminan bahawa pertubuhan-pertubuhan kaum lain akan hanya berdiam diri jika Hindraf terus bersikap biadap. Kita bimbang tindak tanduk Hindraf akan mendapat tindak balas daripada kaum lain terutamanya orang Melayu. Apa yang dinyatakan bukanlah bertujuan untuk mencetuskan perasaan perkauman tetapi inilah hakikatnya yang akan berlaku kalau sebuah pertubuhan haram seperti Hindraf seolah-olah diberikan keistimewaan.

Oleh itu sebelum terlambat bertindak tegaslah kerana kerajaan perlu mengambil iktibar daripada kegagalannya memusnahkan 'benih-benih' kelahiran Hindraf pada pertengahan tahun lalu yang akhirnya mewujudkan suasana sekarang.

Justeru seperti mana kata seorang rakan yang juga seorang peguam, kelompok minoriti yang mahu menganggu gugat keharmonian antara kaum yang sedia terjalin di negara ini adalah 'ancaman' kepada keamanan. Justeru tindakan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengekalkan perpaduan nasional. - sumber Utusan Malaysia

Komen:
Bengong punye Hindraf.. Menyusahkan aje.. Krn Hindraf, org India yg lain plak malu~

Post a Comment

0 Comments