Persoalan : SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan
raya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di
satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada PRU
Ke-13 nanti.
Dakwaan tersebut merupakan
suatu fitnah dan tidak berasas sama sekali. SPR tidak pernah melakukan apa-apa
perubahan terhadap sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya sama ada DUN
atau pun Parlimen kerana urusan berkenaan hanya dapat dilakukan apabila tiba
masanya mengikut peruntukan Perkara 113(A) Perlembagaan Persekutuan. SPR telah
pun mengeluarkan pengumuman bahawa urusan kajian semula persempadanan
bahagian-bahagian pilihan raya hanya akan dijalankan apabila tiba masanya
selepas PRU-13. SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan perkara
tersebut apabila tiba masanya nanti.
1. Apa yang sebenarnya
berlaku sebelum ini mengikut peruntukan kuasa di bawah sub peraturan 25(3)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, melalui kuasa
Ketua Pendaftar, ialah tindakan SPR membetulkan Lokaliti yang mengandungi
nama-nama pemilih yang telah tersalah letak sebelumnya iaitu semasa proses
penetapan kedudukan Lokaliti (sebelum 2004) yang dibuat secara manual. Oleh
kerana kedudukan Lokaliti berkenaan telah tersalah letak, maka selaras dengan
peruntukan undang-undang SPR perlu membetulkan kedudukan Lokaliti tersebut di
dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih di dalam Lokaliti berkenaan
didaftarkan.
SPR menyedari kedudukan
beberapa Lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian pilihan raya hanya
selepas Sistem EGIS (Electoral Geographical Information System) digunapakai
dalam tahun 2004. Melalui peruntukan kuasa yang ada, SPR telah membuat
pembetulan kedudukan Lokaliti yang tersalah letak di seluruh negara yang
melibatkan jumlah pemilih seramai 19,342 orang. Pemilih-pemilih mengikut
Lokaliti-lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan raya
yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan. Perlu ditekankan bahawa pembetulan
Lokaliti-lokaliti yang dibuat itu tidak sama sekali melibatkan perubahan kepada
mana-mana garis sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen.
Sebaliknya dengan pembetulan kedudukan pemilih mengikut Lokaliti yang terlibat
maka mereka akan mengundi di dalam bahagian pilihan raya yang betul mengikut
kedudukan alamatnya di dalam Daerah Mengundi dan DUN yang sebenarnya.
2. Selepas tindakan
pembetulan Lokaliti berkenaan dibuat, SPR telah memaklumkan secara rasmi
melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti
politik di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan. SPR beranggapan
parti-parti politik melalui pemimpin-pemimpin mereka di peringkat Daerah
Mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR tersebut dan seterusnya memaklumkan
kepada pemilih-pemilih yang terlibat di kawasan masing-masing. Tetapi ramai
pemilih yang memberi maklumbalas kepada SPR mereka tidak menyedari telah
berlaku pembetulan kedudukan nama mereka mengikut Lokaliti di mana mereka
didaftarkan. Oleh yang demikian, dalam menghadapi PRU-13 akan datang, SPR akan
menulis surat pemberitahuan perkara tersebut kepada semua pemilih yang terlibat
di semua kawasan yang berkenaan di seluruh negara.
Justeru, SPR ingin menegaskan
sekali lagi bahawa dengan tindakan membetulkan kedudukan nama pemilih di dalam
Lokaliti berkenaan iaitu dengan meletakkannya di dalam bahagian pilihan raya
yang sebenar mengikut kedudukan di lapangan, ia sama sekali tidak melibatkan
apa-apa perubahan kepada garis sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya sama
ada DUN ataupun Parlimen. Mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan secara
lebih lanjut berhubung dengan perkara ini, mereka bolehlah menghubungi
mana-mana Pejabat SPR yang berkenaan.
Baca lagi pelbagai jawapan SPR terhadap fitnah Pembangkang di sini.
1 Comments
Terima kasih SPR!! Penjelasan ni mmg dah lama ditunggu-tunggu!!
ReplyDeleteBUKTI JELAS AMBIGA & BERSIH SENGAJA NAK CETUSKAN KEKACAUAN! Baca di sini...
http://apakecoh2.blogspot.com/
komen² anda akan dipublish setelah disahkan..
terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..