Full Width CSS

Hebatnya Olimpik London & Adakah Malaysia Boleh Menjenamakan Semula Kemasyhuran Negara


Semasa bersahur awal pagi tadi, saya sempatlah menyaksikan siaran langsung Penutupan Rasmi Olimpik yang disiarkan terus dari London, Britain di RTM 1.

Hebat !

Itulah perkataan pertama saya ucapkan selepas tamatnya majlis ini. Semasa majlis pembukaannya dulu, saya boleh kategorikan sebagai hebat juga.

Bukan kerana mereka orang Inggeris ataupun berkulit putih tetapi saya kagum dengan idea dan jalan cerita yang dibawa sepanjang majlis ini berlangsung.

Kehebatan negara ini memang sukar disangkal dan mungkin kehebatannya telah mengatasi Majlis Pembukaan dan Penutupan Olimpik Beijing 2008 lepas yang dipenuhi dengan percikan bunga api saja.
Namun pada edisi hari ini, England telah berjaya menaikkan dan menjenamakan semula para pengkarya serta penghibur dari negara mereka. Lihat bagaiimana mereka mengangkat martabat dan memberi laluan kepada penghibur terkenal mereka.

Ini merupakan sesuatu yang hebat. Dimulai daripada John Lennon terus ke kumpulan Queen, Muse dan Spice Girl. Ini nama-nama hebat yang dilahirkan di sana dan telah menjadi trend dunia hari ini. Terdapat pula persembahan pentomen yang menceritakan kejayaan-kejayaan sulung para pencipta pada zaman dahulu kala dan sedikit unsur komedi yang berkesan.

Saya terfikir, andai Malaysia berkemungkinan menjadi tuan rumah untuk sukan sebesar Olimpik. Apa yang Malaysia bakal angkat pada ketika itu? Adakah tarian tradisional atau warisan klasik yang sama dijaja setiap kali Hari Kemerdekaan atau membawa branding flora & fauna dan mengundang artis jemputan dari luar negara seperti Sukan Komanwel 1998 dahulu.

Kita bukan saja bercakap mengenai untuk program sebesar Olimpik ini namun kita cuba lihat untuk program seperti Merdeka, Hari Malaysia, Citrawarna dan sebagainya. Apa yang patut dan boleh ditonjolkan kepada dunia agar masyarakat luar sana akan teringat dan terkesan untuk satu tempoh yang lama.

Mungkin untuk tempoh sebegini, Malaysia masih terus terpaksa mempertaruhkan perkara-perkara yang saya nyatakan di atas tadi. Rakyat terutamanya terpaksa 'disogok' menerima cara tradisi kebudayaan negara yang disampaikan dengan cara sama sepanjang hampir 20 tahun.

Saya bukan menafikan tentang mutu dan kualiti budaya negara tapi saya melihat perkembangan negara sebagai satu aspek yang besar dan hebat. Pelbagai kejayaan dan kemashyuran yang berjaya ditempah negara. Baik dalam bidang sukan, seni, ekonomi dan pelbagai lagi. Kehebatan ini perlu diterjemahkan ke dalam bentuk seperti yang dicipta penganjur pada Pembukaan dan Penutupan Olimpik, London.

Apabila perkara sebegini diketengahkan maka ia sedikit sebanyak memberi inspirasi dan kekuatan psikologi kepada rakyat yang lain untuk terus mencipta kejayaan tersebut. Apa yang dicipta oleh kita hari ini ialah setiap kali sambutan Hari Merdeka sebagai contoh. Mereka yang telah mengharumkan nama negara akan diarak menaiki kereta berjenama dan tidak berbumbung sepanjang laluan persembahan majlis, so apa yang rakyat nampak ketika itu?

Kenapa tidak, kita menukarkannya kepada format baru dan lebih menarik untuk dihayati. Tak perlu tutup jalan raya, sambut saja program yang disebutkan tadi di dalam Stadium. Pelbagai bentuk penceritaan kebudayaan, kesenian, kehebatan, kemasyhuran boleh disampaikan secara terus selain dari berbaris dan menari saja.

Mungkin pihak yang berkaitan harus melihat ini sebagai satu perkara yang positif dan boleh membanggakan semua lapisan masyarakat. Tapi unsur yang boleh menarik perhatian rakyat juga harus dititikberatkan seperti komedi, pelakon dan juga kreativiti jalan ceritanya termasuk juga cara penyampaian yang berkesan.

Sudah tiba masanya Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan memikirkan idea dan konsep sebegini yang wajar dibawa ketengah supaya ianya masih terus relevan dan terus lekat ke hati rakyat Malaysia.

Sekadar pandangan je.

Update via BlackBerry® Smartphone Powered By UMNO

Post a Comment

1 Comments

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..