Full Width CSS

Pemuda UMNO Buat Report Polis @PDRMsia



Pemuda Umno Pusat mahu pihak polis menyiasat kewujudan satu akaun laman sosial Facebook kontroversi, yang membawa mesej undi kepada Pakatan Rakyat (PR) bermakna sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama persekutuan, "seolah-olah" dikendalikan oleh pergerakan itu.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional (BN), Ibdillah Ishak di Balai Polis Tun H S Lee di sini, jam 4 petang tadi. “(Sedang) membuat laporan polis bagi pihak (Ketua Pemuda Umno dan BN) YB Khairy Jamaluddin berkenaan laman FB yang berbaur hasutan,” katanya menerusi laman Twitter.

Sementara itu, ketika dihubungi Sinar Harian Online, Ibdillah menolak keras akaun itu dikendalikan oleh Pemuda Umno Pusat. "Akaun Facebook itu menggunakan nama Pemuda Umno Malaysia dan ia seolah-olah mewakili Pemuda Umno.

Jadi YB Khairy mengarahkan saya untuk membuat laporan polis berhubung hal ini," katanya. Ibdillah memberitahu, insiden seperti itu boleh memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan fitnah serta memberi imej yang salah.

"Kami jelas-jelas menolak kenyataan siapa-siapa berhubung isu agama tidak kira daripada pihak kita mahupun pembangkang," tegas beliau. Sehubungan itu katanya, Pemuda Umno berharap siasatan segera dapat dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengendalikan akaun laman sosial terbabit dan memuat turun poster berbaur hasutan ters

ebut. "Pihak yang memuat turun poster itu harus bertanggungjawab dan dikenakan tindakan," katanya. Laman itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin-pemimpin Umno khususnya dari Selangor.

Poster yang kontroversi itu membawa mesej bahawa “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu).” Pemaparan bahan berkenaan menjadi perhatian ketika spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin meningkat.

Laman sosial itu mengakui ia sebagai milik Pemuda Umno memuatkan mesej itu awal pagi kelmarin tetapi telah dikeluarkan selepas ditegur oleh kepimpinan PR termasuk Ketua Pembangkangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kandungan awal mendapat reaksi daripada kedua-dua PR dan penyokong Barisan Nasional (BN). Malah perkara itu turut dinafikan oleh Khairy pada hari yang sama dan berjanji akan menyiasat siapa pengendali dan pentadbirnya. Mengulas lanjut, Ibdillah berkata, perkara itu akan dibawa kepada pucuk pimpinan oleh Khairy bagi menunjukkan bahawa Pemuda Umno memandang serius perkembangan tersebut.

Pagi tadi, Sinar Harian Online melaporkan Pemuda Umno menafikan laman itu dikendalikan oleh pihaknya. Sehubungan itu, pergerakan tersebut mahu membuat laporan polis. "Ya, bukan laman FB kami," kata Khairy menerusi mesej Twitter menjawab pertanyaan susulan pengikutnya, malam tadi. Menerusi mesej seterusnya, Khairy berkata, pihaknya sudah ada maklumat susulan berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran laman yang membawa mesej yang "memudaratkan." "Kami akan membuat laporan polis esok (hari ini)," kata beliau.

Post a Comment

0 Comments