Full Width CSS

Pemimpin UMNO Sambut Saranan Ust Nasha Secara Positif


Beberapa pemimpin Umno menyambut baik dan menerima secara positif saranan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang mahu merencanakan semula perpaduan umat Islam terutamanya melibatkan Umno dan Pas.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Umno tidak pernah menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pas demi perpaduan ummah.

“Saya harap kepimpinan Pas dapat mengesahkan persetujuan mereka terhadap kenyataan Nasharudin ini,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh.

Sebelum ini, Nasharudin mengingatkan Pas supaya tidak terlalu mengejar kuasa hingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Nasharudin berkata, masalah perpecahan umat Islam yang sepatutnya menjadi keutamaan sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata, kemenangan Islam dalam perjuangan mendaulat agama suci itu berada dalam tangan umatnya sendiri, bukan dengan bantuan orang bukan Islam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Harun berkata, suara Nasharudin perlu didengari pemimpin Pas dan ahli-ahli Pas terlebih dahulu.

“Kaedah yang mahu dilakukan baik, tetapi beliau perlu bersama- sama pemimpin Pas lain yang mengutamakan perjuangan Islam seperti Datuk Dr Harun Din, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Ismail Mina menjadi pencetus kepada kesatuan umat Islam supaya umat Islam disegani oleh rakan dan lawan.

“Mereka perlu mencari jalan penyelesaian untuk membersihkan pemikiran umat Islam untuk bersatu dengan melaksanakannya di peringkat akar umbi Pas terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau bimbang sekiranya hanya Nasharudin sahaja yang mahu melaksanakan perpaduan umat Islam, tetapi pemimpin Pas lain dan ahli Pas tidak menyokong beliau.

“Apa yang berlaku ialah beliau tewas kepada Mat Sabu kerana kurang mendapat sokongan dalam pemilihan pemimpin. Beliau tidak disokong oleh ahlinya sendiri.

“Saya khuatir, saranan ini hanya beliau bercakap sendiri tanpa sokongan Pas. Sebaliknya Umno sememangnya seluruh pemimpin dan parti komponen Barisan Nasional menyokong perpaduan umat Islam dan meletakkan Islam sebagai pendahulu,” katanya.

Beliau berkata, perkara sedemikian tidak berlaku dalam Pembangkang apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak undang-undang Islam dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan liberal.

“Inisiatif yang hendak dilakukan Nasharudin baik, tetapi saya risau Pas tidak ke arah itu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments