Full Width CSS

#PemilihanUMNO : Pencalonan Boleh Dibatalkan Jika Beri Maklumat Palsu #1Malaysia @NajibRazak @MuhyiddinYassin


Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh hari ini mengingatkan semua individu yang berhasrat bertanding pada pemilihan Umno kali ini tidak mengemukakan maklumat palsu dalam borang pencalonan.

Beliau berkata ini bagi mengelak pencalonan mereka terbatal secara automatik jika dikesan menipu khususnya dari segi kelayakan.

Katanya sebarang penipuan oleh mana-mana individu akan dapat dikesan melalui pangkalan data parti yang mempunyai butiran maklumat lengkap anggota.

"Contohnya, asas syarat pertandingan untuk Majlis Tertinggi (MT) ialah menjadi anggota Umno selama tiga tahun dan satu penggal menjadi anggota jawatankuasa bahagian atau MT satu penggal.

"Kalau dia tipu tentang daftar keahlian dia atau cuba tambah maklumat tentang syarat pertandingan misalnya (dia) tulis pernah jadi MT dan kita kesan dia menipu, maka pendaftaran dia akan terbatal," katanya kepada Bernama semasa sesi simulasi proses pencalonan pemilihan Umno 2013 di sini, hari ini.

Sabtu ini ditetapkan sebagai hari pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dan akan diadakan serentak di seluruh negara.

Abdul Rauf juga mengingatkan borang pencalonan tidak boleh dipindah milik kerana dilengkapi nombor siri selain telah direkodkan ketika bakal calon mengambil borang pencalonan Sabtu lepas.
Sekiranya dikesan, pencalonan mereka juga akan terbatal secara automatik, katanya.

"Kita tidak mahu berlakunya kejadian yang tidak telus dalam pertandingan... sebab ada orang yang dia tak bagi tahu awal-awal yang dia mahu bertanding sebab nak tengok 'market' dulu, kemudian dia beri borang itu kepada orang lain dan suruh orang itu bertanding," katanya.

Sebagai parti yang telus, Umno menekankan anggotanya terutamanya bagi yang mahu bertanding pada pemilihan kali ini mempunyai ketelusan diri.

Mengenai kelayakan individu yang mempunyai kes mahkamah untuk bertanding, Abdul Rauf berkata mereka yang sedang didakwa dan di peringkat rayuan dan diisytiharkan muflis tidak layak bertanding dan memilih pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun jika individu tersebut didapati tidak bersalah, maka dia dibolehkan bertanding.

Selain itu Abdul Rauf berkata perwakilan dari cawangan atau bahagian yang gagal menyelesaikan mesyuarat tahunan masing-masing juga tidak layak mengundi, sebaliknya hanya diberi status pemerhati pada pemilihan Umno kali ini.

Tarikh mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Oktober ini.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan jawatan Majlis Tertinggi pula dijadualkan serentak pada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan dari 2 hingga 7 Disember depan.

Post a Comment

0 Comments