Full Width CSS

Menteri Nafi Laporan NST Yang Mendakwa Fariq Membuat Panggilan Telefon Daripada Pesawat #PrayForMH370 @HishammuddinH2O @NajibRazak


Sukar bagi sebuah telefon bimbit menerima isyarat panggilan sekiranya berada dalam penerbangan pada ketinggian 5,000 kaki. 

Pakar Penerbangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leftenan Kolonel (B) Mohamed Tarmizi Ahmad berkata, kemungkinan besar isyarat telefon bimbit mampu dikesan pemancar telekomunikasi seandainya pesawat berada pada ketinggian 2,000 hingga 3,000 kaki. 

“Jika menggunakan telefon satelit, pemanggil mampu membuat panggilan di mana sahaja mereka berada tidak kira berapa ketinggian pesawat ketika penerbangan. Apa yang saya boleh katakan, pada ketinggian 2,000 kaki isyarat telekomunikasi juga sangat lemah dan pemanggil hanya mampu membuat panggilan sekiranya isyarat di kawasan berkenaan kuat,” katanya. 

Menurutnya, syarikat telekomunikasi pasti menyimpan sebarang rekod panggilan yang dibuat oleh pelanggan mereka. 

“Jadi, seandainya panggilan berjaya dibuat pada ketinggian 5,000 kaki, syarikat telekomunikasi pasti mempunyai bukti kukuh dengan data yang telah disimpan,” katanya. 

Sebelum ini laporan ekslusif yang dikeluarkan oleh New Straits Times mendakwa pihak berkuasa telah mendedahkan satu maklumat tentang pembantu juruterbang MH370, Fariq Ab Hamid.Beliau didakwa telah membuat satu panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang pada ketinggian 5,000 kaki semasa melalui Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, panggilan telefon tersebut berjaya dilakukan berikutan pesawat tersebut yang terbang cukup rendah sehingga membolehkan menara kawalan telekomunikasi mengesan panggilan telefon yang dibuat. 

Namun panggilan telefon tersebut disahkan terputus secara tiba-tiba sebelum kapal terbang tersebut hilang dari radar dan pasukan penyiasat masih melakukan siasatan terperinci ke atas maklumat tersebut.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan seramai 205 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam membantu siasatan pihak polis. 

Menurut beliau, pihak polisakan memanggil lebih ramai individu untuk membantu pihak polis menyelesaikan siasatan ke atas insiden kehilangan pesawat tersebut. seterusnya

Di bawah pula adalah kenyataan DS Hishammuddin Hussein :

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan laporan muka depan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 membuat panggilan telefon ketika pesawat itu terbang rendah berhampiran Pulau Pinang. 

Beliau berkata, jika dakwaan akhbar itu benar, beliau sepatutnya mengetahui perkara itu daripada awal lagi.
"Saya tidak boleh komen (mengenai laporan akhbar itu) kerana jika betul, kita (pasti) tahu mengenainya daripada awal lagi," katanya 

Menurutnya sejak insiden kehilangan pesawat itu, pihaknya mengambil pendekatan tidak mengesahkan sesuatu tanpa sebarang kerjasama atau pengesahan dengan pihak lain. 

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan dengan membuat liputan atau laporan yang tidak berasas. 

Hishammuddin berkata pasukan penyiasat menerima pelbagai petunjuk di Laut China Selatan termasuk mengenai imej satelit oleh China, penemuan jaket dan bot keselamatan serta tumpahan minyak yang kononnya berkaitan dengan MH370 menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluas dari Laut China Selatan ke Laut Andaman dan kini di Lautan Hindi. 

"Kita terima macam-macam petunjuk dan kita mengikutinya tetapi malang ia adalah hanya 'roller coaster ride', di mana kita terima maklumat dan siasat tetapi ia tidak berasas," jelasnya. 

Beliau berharap orang ramai memahami apa yang pihaknya sedang lalui kerana maklumat tidak berasas bukan sahaja menjejaskan operasi tetapi juga memberi kesan kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Post a Comment

0 Comments