Full Width CSS

Kenaikan Harga Rumah Agak Perlahan Tapi Rakyat Masih Tak Mampu Beli


Kenaikan harga purata rumah di Malaysia bagi suku kedua tahun ini meningkat sebanyak RM2,442 kepada RM283,328 sebuah yang disifatkan agak perlahan berbanding suku pertama lalu iaitu RM280,886 sebuah.

Bagaimanapun, kenaikan harga rumah yang tinggi masih berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor dengan masing-masing meningkat secara purata sebanyak RM24,183 dan RM14,700 sebuah.
Setakat suku kedua tahun ini, harga purata rumah di Kuala Lumpur berharga RM667,674 sebuah, manakala di Selangor RM437,440 sebuah, menurut laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

Peningkatan yang kecil itu berpunca akibat kejatuhan harga rumah di beberapa negeri antaranya Johor, Negeri Sembilan, Perak, Me­laka, Kedah, Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak.

Penilaian harga rumah itu mengambil harga purata rumah kesemua jenis rumah merangkumi rumah teres, rumah bertingkat, rumah berkembar dan banglo di setiap negeri.

Berdasarkan maklumat oleh Napic itu, harga purata rumah teres di Malaysia berharga RM253,655 sebuah, rumah ber­tingkat RM264,484 sebuah, rumah berkembar RM422,829 sebuah dan banglo RM479,671 sebuah.

Apapun, ketika ini didapati trend peningkatan harga rumah agak perlahan kesan pengenalan beberapa peraturan baharu oleh kerajaan bagi mengekang kenaikan harga rumah yang tidak terkawal.

Antara peraturan tersebut ialah seperti Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), kelulusan pemberian pinjam­an perumahan yang ketat serta harga rumah minimum RM1 juta kepada warga asing. Malah, langkah kerajaan menggalakkan pembangunan rumah mampu milik juga mendorong kepada penurunan harga rumah khususnya di luar kawasan Lembah Klang.

Peningkatan antara suku pertama dan suku kedua tahun ini itu dilihat rendah berbanding trend sebelum ini, yang mana setiap tiga bulan harga purata rumah di Malaysia meningkat sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 sebuah.

Post a Comment

0 Comments