Full Width CSS

Kerajaan Pulau Pinang Cuba Kambing Hitamkan MPPP Pula


Kerajaan Pulau Pinang tidak harus menyalahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) atas kegagalan dasar perumahan kerajaan negeri pimpinan DAP itu dalam menyediakan rumah mampu milik.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata MPPP tidak seharusnya dikatakan cuai dalam melaksanakan dasar harga rumah mampu milik jika kerajaan negeri sendiri gagal menyatakan dengan jelas keluasan unit rumah bagi setiap kategori harga yang mereka tetapkan.
“Kerajaan negeri perlu lebih tegas dalam melaksanakan program perumahan mampu milik di Pulau Pinang dan menyediakan garis panduan lengkap untuk dilaksanakan pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan permohonan Pelan Kebenaran Merancang oleh pemaju,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo menerima aduan daripada dua pembeli rumah mendakwa mereka perlu membayar RM200,000 bagi unit rumah berkeluasan 42.82 meter persegi (461 kaki persegi).

Jagdeep yang menjawab aduan itu dipetik sebagai berkata MPPP telah cuai dalam melaksanakan dasar harga rumah mampu milik kerajaan negeri dan beliau juga mengakui tiada garis panduan keluasan unit rumah mampu milik dimasukkan dalam dasar perumahan kerajaan negeri.

Jahara berkata mengikut dasar perumahan yang diumum kerajaan negeri, jika kepadatan unit rumah ditingkatkan sehingga 87 unit bagi 0.4 hektar (seekar), pemaju perlu membina 30 peratus unit rumah kos rendah pada harga jualan RN42,000 seunit dan kos sederhana rendah pada harga RM72,500 seunit.

Katanya pemaju juga dikehendaki membina 25 peratus rumah dalam kategori rumah mampu milik, iaitu lima peratus pada harga RM200,000; 15 peratus rumah berharga RM300,000 dan lima peratus rumah berharga RM400,000.

“Adalah amat mengecewakan kerana tiada garis panduan mengenai keluasan unit rumah untuk kategori mampu milik. Pemaju mengambil kesempatan untuk menawarkan rumah bersaiz lebih kecil daripada rumah kos rendah dan sederhana rendah pada harga jualan yang sangat tinggi,” katanya.

Sumber : UMNO Online

Post a Comment

0 Comments