Full Width CSS

TERBAIK !! KL & Laos Setuju Buka Pejabat Atase Pertahanan Masing-Masing


Kerajaan Laos hari ini meluluskan permintaan Malaysia untuk membuka pejabat Atase Pertahanan (DA) di negara itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata permintaan itu dikemukakan ketika lawatan beliau ke Vientiane tahun lepas.

"Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) kini dalam proses mengenal pasti calon sesuai untuk dilantik sebagai DA untuk dihantar bertugas di Vientiane," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan Laos memberi kelulusan bagi pembukaan pejabat Atase Pertahanan negara itu di Kuala Lumpur.

Hishammuddin hari ini mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pertahanan Kebangsaan Laos Lt Jen Sengnouane Sayalat dan Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong di Vientiane.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan kedua-dua negara menandatangani Surat Hasrat (LOI) bagi mengukuhkan minat kedua-dua pihak untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama dan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Laos.

Berikutan itu, memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan akan ditandatangani apabila Malaysia membuka pejabat Atase Pertahanan di Vientiane, kata beliau.


Hishammuddin berkata dalam pertemuannya dengan perdana menteri Laos, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan hubungan dua hala antara kerajaan kedua-dua negara dan antara rakyat dengan rakyat bagi meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Menurut Hishammuddin, beliau akan berlepas ke Hanoi, Vietnam lewat malam ini untuk mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari negara itu, Jen Phung Quan Thanh.

Semalam, Hishammuddin berkata beliau menghadiri mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Negara Kemboja Jen Tea Banh di Phnom Penh.

Post a Comment

0 Comments