Full Width CSS

Tabung Haji Sahkan Seorang Rakyat Malaysia Menjadi Korban Rempuhan Di Mina


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di dalam insiden rempuhan di Mina pada Khamis lalu selepas dipercayai tersasar ke kawasan kejadian.

Jemaah haji itu dikenali sebagai Zulkifli Samad, 50, beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang Selangor dan berasal dari Johor.
Perkara itu disahkan oleh oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Pihak Tabung Haji pada pemakluman awal mengesahkan tiada jemaah haji yang telibat dalam rempuhan tersebut berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal dari penempatan jemaah haji.

Satu insiden rempuhan manusia berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) di Mina ketika umat Islam sedang menunaikan rukun Islam yang kelima.

"Pihak Tabung Haji telah membuat semakan dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada jam 12.30 tengah hari sehingga 3 petang pada hari kejadian.

"Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan dengan sebarang kehilangan jemaah," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, pada sebelah malam jam 11.00 Suria Hanim Abdul Hamid, isteri Zulkifli Samat telah membuat laporan bahawa suaminya tidak pulang ke khemah.

Dalam laporan tersebut, isterinya mengakui bahawa suaminya tidak bersama dengan Jemaah TH dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasullulah ke Mina.

Menurut Suria Hanim, panggilan terakhir telah dibuat kepada suami beliau adalah pada jam 7.15 pagi.

Dalam perbualan telefon tersebut, suami Suria Hanim memaklumkan beliau selamat tiba di Mina dengan jemaah haji Indonesia dari Muzdalifah.

Dr Asyraf berkata, setelah menerima aduan tersebut para petugas haji memulakan usaha mencari jemaah tersebut di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina yang diketegorikan tersasar.

"Pada hari ini jam 1.30 petang pasukan perubatan TH telah membuat tinjauan di rumah mayat Moaissim di mana pasukan perubatan telah menemui satu jenazah rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam keadaan yang sempurna.

"Pasukan perubatan TH telah mengesahkan jenazah tersebut melalui identifikasi yang ada pada jenazah tersebut.

"Di sini pihak Tabung Haji mengesahkan Jenazah tersebut adalah Zulkifli Samat.

Menurutnya, pihak Tabung Haji amat berdukacita dengan insiden yang tersebut.

"Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang yang beriman dan para syuhada," katanya.

Insiden rempuhan manusia itu berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi) di Mina ketika umat Islam sedang menunaikan rukun Islam yang kelima.

Angka kematian telah meningkat kepada 769, manakala yang cedera meningkat kepada 934.

Post a Comment

0 Comments