Full Width CSS

#MyBeras Kerajaan Jamin Berikan Beras Berkualiti


Kerajaan memberi jaminan beras yang akan diberikan secara percuma di bawah program MyBeras adalah yang berkualiti, bukannya bermutu rendah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kemungkinan beras ST10 dan ST5 akan dibekalkan kepada penerima layak yang terdiri daripada golongan miskin.

Katanya, senarai penerima juga akan diperoleh menerusi sistem E-Kasih serta dari golongan pekebun kecil lain yang mungkin terjejas susulan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
"Prinsip kita jelas di sini iaitu mahu memastikan tiada rakyat yang akan kelaparan. Ini kerana apabila harga minyak jatuh, harga komoditi lain seperti getah dan kelapa sawit juga menyusut, kesannya sudah pasti diterima golongan ini," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, berbaki tempoh sebulan sebelum pelaksanaan pada 1 Mac depan, kementeriannya akan mengenalpasti penerima dan menyediakan stok secukupnya bagi memastikan akhirnya ia dapat dilaksana secara sempurna dan menepati objektif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 hari ini mengumumkan pelaksanaan program MyBeras yang mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar, akan dibekalkan 20 kilogram beras setiap bulan.

Langkah ini diambil sehingga Disember ini bagi mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.

Post a Comment

0 Comments