Full Width CSS

#Prasarana Yakin Pengiktirafan Diterima Bakal Rangsang Semangat & Keupayaan Pertingkat Kualiti @NajibRazak @azmiziz60


Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) melihat Utusan Business Awards (UBA 2015) sebagai satu inisiatif Kumpulan Utusan yang amat positif bagi merangsang entiti-entiti perniagaan di negara ini untuk terus berkembang, meningkatkan keupayaan dan kredibiliti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, anugerah itu bukan saja mengiktiraf kejayaan syarikat, tetapi turut membakar semangat kakitangan selain mempertingkatkan usaha dan komitmen mereka untuk menjadi lebih maju.

Dalam konteks Prasarana, katanya, syarikat merupakan sebuah entiti yang berinspirasi untuk me­lakukan transformasi dalam sistem pengangkutan awam di Malaysia ke arah yang lebih baik.
“UBA 2015 dan juga pelbagai anugerah lain yang diberikan kepada Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikat akan menguatkan lagi azam dan tekad kami untuk mening­katkan lagi kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

“Selain itu, kami juga berusaha menjayakan agenda nasional untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

UBA 2015 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada 1 Mac ini dengan menyaksikan 35 buah syarikat merangkul trofi anugerah kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Anugerah-anugerah yang disam­paikan dibahagikan kepada tiga ka­tegori iaitu anugerah kecemerlangan mengikut sektor, anugerah­ kecemerlangan kepimpinan dan anu­gerah pencapaian sepanjang hayat.

Pada acara yang julung kali dianjurkan oleh organisasi media pa­ling berpengaruh di Malaysia itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Diraja Anugerah dijangka berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut.

UBA 2015 disokong oleh akhbar Utusan Malaysia bersama Yayasan Utusan dan Utusan Studios, manakala McMillan Woods Global dilantik sebagai firma audit dan diuruskan oleh MyEvents International.

Menurut Azmi, pengangkutan awam bertaraf dunia adalah kunci kepada kejayaan sesebuah negara dan kesejahteraan rakyat kerana mobiliti dan kesalinghubungan akan memastikan produktiviti yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Hal ini sekali gus memastikan perkembangan perniagaan dan ekonomi serta memberi penjanaan hasil yang tinggi kepada negara,” ujarnya.


Sumber : Utusan Malaysia

Post a Comment

0 Comments