Full Width CSS

Tolak Mereka Yang Menjemput Kuasa Asing Campuri Urusan Dalam Negara - PM @NajibRazak


Negara-negara Islam hen­daklah menolak campur tangan asing terhadap Dunia Islam dan menyatakan penolakan tersebut sejelas-jelasnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, semua telah menyaksikan kesan kemusnahan akibat campur tangan asing di dalam Dunia Islam, lazimnya berasaskan maklumat tidak lengkap, maklumat salah atau berat sebelah.

“Kita hendaklah menyatakan sejelas-jelasnya bahawa kita menolak campur tangan ini. Dan menolak juga mereka yang menjemput kuasa asing, atas dorongan politik untuk mencampuri urusan dalam negara mereka sendiri.
“Kita, sebagai umat Islam, hendaklah mengambil tanggungjawab ke atas diri kita sendiri dan berdoa untuk diberi bimbingan bagi melakukannya,” kata Perdana Menteri semasa menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12, di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata, bila dibandingkan, negara majoriti Islam seperti Malaysia dan Indonesia, yang tidak terkena campur tangan asing, adalah oasis ke­amanan dan kestabilan.

“Inilah mengapa para pemimpin di sini hari ini perlu be­kerjasama untuk menyelesaikan masalah dan isu mereka secara bersama. Saya sentiasa mendokong kepada prinsip keterbukaan dan kolaborasi.

“Namun, kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita, undang-undang kita dan kerajaan kita yang dipilih secara demokrasi,” kata beliau.

Najib berkata, campur tangan asing di negara-negara Islam telah mengakibatkan kesan-kesan terancang dan tidak dirancang, yang masih dirasai sehingga ke hari ini.

Katanya, penaklukan terhadap Iraq telah mencetuskan rantaian kemusnahan yang berterusan dengan kekacauan dan bencana serta perpecahan negara seperti di Iraq, Syria dan Libya.

Malah, kejadian ‘Arab Spring’ telah menyemai bibit-bibit ke­tidakstabilan di seluruh rantau tersebut, dengan ribuan terkorban, manakala pengganas dan militan bergerak bebas di tanah yang dulunya aman.

Mengenai Daesh, Najib berkata, negara majoriti Islam hendaklah menentang pembohongan mereka dengan kebenaran sebenar Islam dan menentang dengan segala kekuatan yang ada untuk menghalang cubaan mereka mendoktrinkan generasi muda.

“Kita mestilah memastikan undang-undang sewajarnya wujud bagi membolehkan pasukan keselamatan mengambil langkah yang perlu untuk menghentikan serangan sebelum ia dilakukan, dan membanteras mereka yang menyebarkan ketakutan dan kekacauan di tanah air kita,” katanya.

Atas faktor ini, kata Perdana Menteri, inilah faktor Malaysia me­nubuhkan Pusat Komunikasi Counter-Messaging Digital Serantau yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

“Kami sedia berkongsi kepakaran kami dalam membanteras radikalisme dan membantu memulihkan mereka yang telah terjerumus ke dalam kumpulan jahat dan tidak Islam tersebut. Kami akan bertegas dalam perjuangan ini, kerana ia berkaitan kita semua,” katanya.

Post a Comment

1 Comments

  1. Setuju, tolak campurtangan asing. Jadi tolak pembangkang dan geng ANC.

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..