Full Width CSS

Biar Betul Tambang MRT Bermula RM 1 #RapidKL #MRT


Rapid Rail Sdn Bhd, yang akan mengendalikan perkhidmatan MRT Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) di bawah jenama perkhidmatan Rapid KL, hari ini mengumumkan struktur penuh tambang, yang bermula dengan tambang nominal RM1 untuk perjalanan satu hentian berdasarkan kepada struktur tambang tanpa tunai.

Tambang paling rendah untuk perjalanan satu hentian mengikut struktur tambang tunai pula adalah RM1.10 antara stesen Pasar Seni dan Merdeka.
Tambang maksima adalah RM6.40 berdasarkan kepada struktur tambang tunai, dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai, meliputi perjalanan penuh antara Sungai Buloh dan Kajang, sepanjang 51 kilometer dan melalui 31 stesen.

Fasa 1 Laluan MRT SBK dijangka beroperasi dari 16 Disember 2016; meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan.

Fasa 2 Laluan MRT SBK, meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang, dijadualkan untuk beroperasi pada pertengahan Julai tahun depan.

Struktur tambang sudah diluluskan oleh Kerajaan dan adalah berdasarkan kepada bayaran masuk nominal atau 'nominal flag fall' dengan kadar menurun untuk setiap empat hingga lima kilometer perjalanan – sama seperti struktur tambang untuk perkhidmatan LRT dan monorel yang dikendalikan oleh Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad.

“Butiran penuh struktur tambang MRT boleh didapati di laman rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my. Struktur penuh tambang akan turut dipaparkan di semua stesen MRT untuk panduan penumpang.

“Seperti yang diamalkan untuk perkhidmatan LRT, monorel, dan bas Rapid KL, kami memberikan diskaun 50 peratus untuk tambang tunai kepada warga emas, pelajar dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan MRT dan bas pengantara MRT.

“Kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun boleh naik percuma,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato‟ Ir Zohari Sulaiman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Oleh kerana Fasa 1 Laluan MRT SBK akan beroperasi secara sendirian, tanpa integrasi dengan rangkaian LRT dan monorel sekarang, Zohari berkata para pengguna MRT akan melalui pintu masuk dengan menggunakan token tunai ataupun Kad Touch n Go sahaja.

Image result for MRT malaysia

“Warga emas, pelajar dan golongan OKU boleh membeli token konsesi berwarna merah daripada Pejabat Perkhidmatan Pelanggan di setiap stesen MRT,” kata Zohari.

Zohari menambah kata warga emas, pelajar dan golongan OKU hanya perlu menunjukkan Kad Pengenalan, kad pelajar (sekiranya tidak memakai uniform), atau Kad OKU ketika menaiki bas-bas pengantara MRT untuk menikmati diskaun 50 peratus.

“Tambang nominal untuk perkhidmatan bas pengantara MRT adalah RM1 untuk satu perjalanan,” kata Zohari, sambil menambah kata bahawa sebanyak 120 bas pengantara MRT akan beroperasi untuk memberi perkhidmatan kepada 26 laluan bagi semua 12 stesen MRT yang dibuka di bawah Fasa 1.

Zohari menambah kata Kad-kad MyRapid, yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT, monorel dan bas Rapid KL, akan dinaikkan taraf secara berperingkat sebelum pembukaan Fasa 2 Laluan MRT SBK pada Julai depan.

“Kami akan memberi makluman terkini secara progresif pada masa akan datang,” kata Zohari, sambil menambah kata bahawa persiapan akhir sedang dibuat untuk 12 stesen pertama yang bakal dibuka pertengahan Disember.

Carta tambang MRT dan perkhidmatan tren yang lain, klik sini.

Post a Comment

0 Comments