Full Width CSS

Inovasi GTRS Hasil Penjimatan Jutaan RM Untuk #Prasarana #RapidKL


Berkat ketelitian dalam pemerhatian dan keyakinan kepada diri sendiri, enam kakitangan teknikal Rapid Rail Sdn Bhd telah menghasilkan satu inovasi hebat untuk membantu mengurangkan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya di samping menghasilkan penjimatan berjuta ringgit kepada syarikat induk, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Kumpulan GTRS - singkatan kepada ‘Group Technical Rolling Stock’ - terdiri daripada staf Jabatan Tren (Rolling Stock) LRT Laluan Kelana Jaya termasuk seorang jurutera, dianggotai oleh Muhammad Firdauss Ab Jalil, Muizzuddin Mohamad, Mohd Nazri Ismail, Ahmad Mahazam Mat Zaid, Muhammad Nor Ahmad Shupi dan Fahkri Noor Ramli.
Bermodalkan pelaburan kurang daripada RM5,000 dan dibangunkan sepenuhnya menggunakan penyelidikan dan kepakaran ahli kumpulan, mereka menghasilkan Alat Pengujian Sistem Penyejukan ‘Linear Induction Motor’ (LIM), yang merupakan komponen penting dalam pergerakan sesebuah tren LRT.

Bermula awal tahun lepas dan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan, alat penguji berkenaan kini telahpun digunakan dalam operasi seharian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya untuk tren-tren empat gerabak yang dikeluarkan oleh Bombardier.

Berdasarkan analisis dan perkiraan Rapid Rail, sekiranya dikontrakkan kepada pihak luar untuk menghasilkan alat penguji ini, ia akan menelan belanja tidak kurang daripada RM1 juta kerana banyak melibatkan aspek penyelidikan dan pembangunan dan hanya akan dilakukan oleh pembekal tren.

Keunggulan inovasi berkenaan telah mendapat perakuan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), yang menobatkan GTRS sebagai juara keseluruhan dalam saingan Team Excellence peringkat kebangsaan pada majlis National Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition 2016, yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam mencatat kejayaan itu, pasukan GTRS telah menewaskan 257 pasukan daripada 143 organisasi lain dari seluruh negara yang menyertai pertandingan kecemerlangan inovasi itu. Dengan kemenangan ini, hasil inovasi GTRS ini berpeluang mewakili negara pada Persidangan Antarabangsa QCC Asia Pasifik, yang akan diadakan di Manila, Filipina tahun depan.

“Kami memilih projek ‘4-car LIM Fan Improvement’ (Pembaikan Sistem Penyejukan LIM untuk tren 4-gerabak) untuk pertandingan inovasi Team Excellence ini selepas mengkaji analisa Data Aduan Pelanggan dalam konteks kekerapan jumlah kegagalan sistem dan penilaian terhadap keutamaan yang sejajar dengan misi Syarikat untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia untuk para pelanggan kami.

“LIM adalah salah satu sistem penting dalam tren LRT Laluan Kelana Jaya. Sekiranya LIM tidak dapat berfungsi, maka tren tidak dapat beroperasi sekali gus akan menyebabkan gangguan perkhidmatan tren. Ini menunjukkan bahawa prestasi LIM memberi impak secara langsung terhadap operasi Laluan Kelana Jaya. Itu menjadi asas kepada projek inovasi kami,” kata Firdauss, yang menjadi Fasilitator kepada pasukan GTRS ini.

Menurut beliau, Sistem Penyejukan LIM (LIM Fan) pula berfungsi untuk mengurangkan suhu operasi LIM, yang merupakan motor untuk menggerakkan tren. Sekiranya sistem penyejukan ini mengalami kegagalan fungsi, sistem keseluruhan LIM akan turut gagal beroperasi sekali gus menyebabkan menyekat pergerakan tren dan mengakibatkan gangguan dalam perkhidmatan.

“Hasil kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan, kos penyelengaraan bagi Sistem Penyejukan LIM telah dapat dijimatkan berbanding pembelian unit baru dari luar negara. Di samping itu, ia juga dapat membangunkan kepakaran tempatan dalam industri rel di Malaysia dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat luar negara. Jumlah penjimatan yang dihasilkan daripada inovasi ini adalah sebanyak RM1.3 juta.

“Sistem Penyejukan LIM yang telah dibaikpulih memerlukan proses pengujian prestasi. Sebelum ini, proses pengujian memerlukan tempoh masa yang panjang antara tujuh hingga lapan jam. Unit Penyejuk LIM perlu dipasang di motor LIM. Selepas itu, LIM hendaklah diuji di tren dan memerlukan empat juruteknik untuk tujuan pengujian ini. Di samping itu, tren yang digunakan bagi tujuan pengujian tidak dapat beroperasi kerana ianya dilakukan di depoh. Ia adalah proses yang amat mengambil masa,” kata Firdauss.

Pada majlis National Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition 2016 itu juga, tiga penyertaaan lain dari Rapid Rail telah memenangi anugerah penghargaan Anugerah Emas Tiga Bintang atas kejayaan inovasi masing-masing - Pasukan SWS untuk inovasi pengesanan amaran brek; pasukan HMIT untuk inovasi memantapkan prestasi pintu tren, dan pasukan ELECTRON untuk suis ‘bypass’ tren empat gerabak Laluan Kelana Jaya.

Sebelum diumumkan sebagai pemenang anugerah keseluruhan, TEAM GTRS, ataupun Group Technical Rolling Stock, memenangi Anugerah Johan untuk Sektor Perkhidmatan.

“Anugerah-anugerah kebangsaan ini sebenarnya adalah bonus kepada kami. Lebih penting lagi bagi kami adalah impak daripada kewujudan alat pengujian ini. Ia bukan saja dapat menjimatkan masa pengujian daripada lapan jam kepada 1 jam sahaja; tetapi ianya juga dapat mengurangkan guna tenaga daripada empat juruteknik kepada seorang jurutekniK.

“Ianya bersifat mudah alih kerana hanya bersaiz satu kaki persegi. Kami amat berbangga untuk dapat memberikan sumbangan ini kepada Rapid Rail dan kepada para pengguna LRT Laluan Kelana Jaya,’ kata Firdauss.

Dengan pengalaman antara lima hingga 18 tahun dalam industri rel, inovasi alat penguji kipas LIM ini adalah penyertaan kedua daripada pasukan GTRS. Tahun lepas, mereka sekadar memenangi anugerah penghargaan Emas Tiga Bintang dengan inovasi mengenai sistem penapis untuk unit kuasa sokongan atau Auxiliary Power Unit.

“Kami di Prasarana khususnya Rapid Rail sentiasa digalakkan untuk berinovasi sebagai sebahagian daripada cara kita bekerja. Ia selaras dengan salah satu prinsip Transformasi Syarikat iaitu Berkemahiran atau ‘Resourcefulness’,” kata Firdauss.
Mengulas kejayaan pasukan GTRS, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman berkata beliau akan terus menggalakkan tradisi berinovasi, yang telah sekian lama diamalkan dalam Syarikat berkenaan untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

Katanya, inovasi adalah penting untuk Rapid Rail terus berkembang maju selaras dengan aspirasinya untuk menjadi pemimpin dalam industri rel ini.

“Saya berharap kejayaan yang dicipta oleh pasukan GTRS ini akan merangsang dan memberi semangat kepada lebih ramai lagi staf teknikal di Rapid Rail untuk menghasilkan inovasi-inovasi untuk memanfaat operasi tren dan meningkatkan tahap perkhidmatan untuk para pengguna LRT dan monorel,” tambah Dato’ Ir. Zohari.


Post a Comment

0 Comments