Full Width CSS

Salah Ker Korbankan Padang Bola Sepak Demi Miliki Rumah Sendiri?


Adakah pembinaan kediaman mampu milik untuk warga kota yang betul-be­tul mengimpikan kediaman sendiri merupakan satu kesalahan?

Berbanding segelintir pihak yang mempertahankan sebuah padang bola sepak sedangkan ia telah diganti dengan baharu lengkap dengan fasiliti sempurna.
Ini berikutan mereka mendakwa padang bola sepak di Jalan Jujur, Bandar Tun Razak di sini ‘dirampas’ bagi tujuan pembinaan kondominium.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, sebaliknya Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantikan padang baharu terletak 500 meter daripada padang sedia ada setahun lalu.

“Mereka mengatakan padang itu dirampas untuk dibina kondominium. Mereka tidak cerita padang tersebut diganti jauh lebih baik daripada padang sedia ada.

“Memang betul, padang lama diambil bertujuan membina kira-kira 860 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) berharga RM200,000 selain rumah harga bebas. Saya sokong kerana keperluan pembinaan tersebut disifatkan jauh lebih penting daripada melihat 40 orang bermain bola sepak di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal baru-baru ini berhubung segelintir pihak yang membantah projek itu, termasuk kadar caj yang mahal untuk penyewaan padang bola sepak baharu.

Menurut Rizalman, sebanyak 600 unit Rumawip di kawasan itu dikhaskan sebagai kediaman gantian penghuni Perumahan Awam (PA) Sri Labuan yang terletak berdekatan padang itu.

“DBKL sedang mengadakan rundingan dengan penduduk terbabit dan sebahagian bersetuju berpindah. Jika semua bersetuju, kerajaan bercadang membangunkan kawasan PA Sri Labuan untuk membina 1,000 rumah mampu milik sebagai perancangan jangka panjang,” katanya.

Katanya, beliau kesal isu tersebut dipolitikkan sesetengah pihak khususnya pembangkang.

“Penduduk di Bandar Tun Razak tahu apa yang berlaku di kawasan ini, cuma segelintir pihak suka mempolitikkan isu tersebut.

“Padang baharu itu siang dan malam mereka boleh gunakan. Bayaran tidak dikenakan pada belah siang, cuma malam caj sebanyak RM500 kerana ada lampu. Jika dua pasukan bermain mereka hanya membayar RM250 sahaja berbanding di tempat lain yang jauh lebih mahal,” katanya.

Tambahnya, DBKL sedang merangka pelan penyuraian trafik di kawasan itu berikutan penambahan penduduk kelak yang bakal mengakibatkan masalah kesesakan dan tempat letak kereta.

“Mereka bimbang akan berlaku masalah itu dan saya setuju kerana memang ada penambahan penduduk, tetapi DBKL ada pe­rancangan mereka bagi menyelesaikannya,” katanya.

Beliau percaya projek pembinaan kediaman akan memberi manfaat sebaiknya kepada warga kota yang benar-benar mahu memiliki kediaman sendiri.

Sumber : Utusan Malaysia

Post a Comment

0 Comments