Full Width CSS

Peruntukan RM30 Juta Untuk Naik Taraf Pusat Tahfiz Bukan Bayar Gaji Kakitangan #Bajet2017


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan peruntukan RM30 juta untuk pusat tahfiz di seluruh negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaik taraf infrastruktur dan bukannya bagi membayar gaji kakitangan.

Katanya, ini kerana, 80 peratus daripada dana RM30 juta disediakan di bawah Bajet 2017 untuk penyelarasan pendidikan tahfiz digunakan untuk membayar gaji kakitangan pusat berkenaan.
"Apa yang digunakan lebih 80 peratus digunakan untuk membayar gaji sedangkan matlamatnya adalah untuk menaik taraf," katanya.

Pada 15 Sept lepas, Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf maahad tahfiz swasta susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur, yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar, 14 Sept lepas.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, katanya, beliau akan memastikan peruntukan tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan menaik taraf infrastuktur dan kemudahan maahad tahfiz.

"Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini telah menyerahkan peruntukan tersebut kepada saya untuk menaik taraf maahad tahfiz," katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat kebakaran Pondok Pak Ya pada 1989, telah berlaku lebih 100 kejadian kebakaran sekolah tahfiz melibatkan 57 kematian, namun masih ada pihak yang berkompromi mengenai isu keselamatan.

Pada pembentangan Bajet 2017 tahun lepas, Datuk Seri Najib mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi membolehkan persekitaran pembelajaran di sekolah tahfiz adalah lebih selamat dan kondusif.

Post a Comment

0 Comments