Full Width CSS

13 Kawasan Di Setiawangsa Akan Dinaiktaraf Bernilai Lebih RM 1.5 Juta #WilayahDihatiku #NegarakuMalaysia #KN


Penduduk di Parlimen Setiawangsa mendapat ‘ole-ole’ istimewa sempena Hari Wilayah Persekutuan 2018 apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di kawasan itu bulan hadapan.

Sebanyak 13 kawasan terlibat meliputi Jalan Rejang (hingga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Rampai) dan Jalan 8/27A (hadapan SMK Seksyen 5 Wangsa Maju).
Laluan lain termasuk Jalan 1/27 Taman Sri Rampai, Jalan 1/56 Keramat Wangsa, Jalan 1/23C, Jalan Lai Tet Loke 1 dan 2, Jalan San Ah Wing, Lorong San Ah Wing dan susur Jalan Genting Klang.

Ahli Parlimennya, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, ke­semua projek tersebut akan bermula selepas Tahun Baharu Cina dengan kos sebanyak RM1.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh masa dua bulan.

“Kerja-kerja menaik taraf jalan di 13 kawasan terlibat meliputi penurapan, pembinaan bonggol dan mengecat garisan kuning bertujuan memperlahankan had laju kenderaan seterusnya me­ngurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Ini kerana kebanyakan penduduk mengadu kenderaan dipandu laju sekali gus membahayakan kanak-kanak yang bermain di kawasan perumahan. Selain itu, laluan terbabit turut dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kemalangan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau ke­adaan jalan raya di sekitar Parlimen itu baru-baru ini.

Yang turut hadir Jurutera Awam Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, Zamri Asnadi dan Jurutera (Awam) Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, Errwan Abdul Rashid.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fauzi berkata, pihak DBKL telah memulakan kerja-kerja menaik taraf Jalan Ayer Jerneh dan Jalan Ayer Keroh sehingga persimpangan Jalan Batu dan kawasan sekitarnya sepanjang 1.3 kilometer (km) dengan kos bernilai RM26 juta dan dijangka siap November tahun ini.

“Selain itu, DBKL turut menaik taraf Jalan Semarak dari persimpangan Jalan Tun Razak hingga Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) sepanjang 1.82 km dengan kos sebanyak RM61 juta dan dijangka siap pada Jun tahun ini. Kedua-dua projek ini bakal memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Post a Comment

0 Comments